dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”
al-Israa’ : ayat 85
Pada hari ini, 25 Jun 2011 Masihi, bersamaan 24 Rajab 1432 Hijri, mungkin kebanyakan masjid dan surau menganjurkan majlis sambutan Isra’ Mikraj, dengan memperingati kisah perjalanan Malam Rasulullah SAW yang dijemput Allah untuk menghadapNYA untuk menerima kefardhuan solat. Seperti biasa, akan dibacakan kisah tentang nabi dibelah dada, nabi menaiki buraq ke Masjid al-Aqsa, nabi menjadi imam solat bagi para nabi-nabi terdahulu, perjalan nabi naik ke langit diganggu ifrit, sejenis jin, kisah nabi menziarahi syurga dan neraka, menghadap sembah Allah SWT, ulang alik turun naik nabi setelah bertemu nabi Musa, dialog-dialog nabi bersama Allah, dan bermacam-macam lagi kisah yang klise, namun apakah kita telah ambil pengajaran?
Seperti biasa, dalam ceramah Isra’ dan Mikraj, akan dibacakan ayat pertama surah al-Isra’.
Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.
al-Israa’ : ayat 1
Namun, dalam tulisan saya kali ini, ingin membawa kepada perbincangan (mungkin tidak ilmiah) terhadap satu ayat dari surah yang sama iaitu surah al-Israa’. Ayat yang menceritakan tentang roh. Saya merasa terpanggil untuk mengulas setelah menonton filem Kerek terbitan KRU yang ditayangkan beberapa bulan yang lepas.
Filem yang sarat dengan elemen grafik dan kesan khas yang sangat menakjubkan, namun ianya tidak menjadi kayu ukur untuk menjadikan filem ini celik ilmu pengetahuan. Filem ini hanya membawa kita kepada keseronokan menonton filem seram dan berhantu, saspen.
Pertama sekali, dan perkara terpenting sebagai teguran saya kepada pihak penerbit filem umumnya dan KRU khususnya yang mengeluarkan filem Kerek ini, apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran, seeloknya jangan bacakan terjemahan. Baca ayatnya. Dalam filem ini. Pada klimaks cerita, pelakon wanita tersebut membaca ayat al-Kursi dengan membaca terjemahan. Boleh, namun dalam konteks ayat al-Kursi serta ayat-ayat lain yang ‘mutasyabihat’ perlu diterjemahkan beberapa perkataan kepada takwilan yang dibenarkan para ulamak.
Justeru, perkara ugama, rujuklah ulamak dan ahlinya. Jangan memandai-mandai buat filem yang natijahnya kita merosakkan agama sendiri. Pelakon tersebut membacakan “kursi Allah meliputi langit dan bumi” dan membacakan “dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar”. Akan muncul persoalan “besar bagaimana kursi Allah itu sehingga meliputi langit dan bumi?” dan “Allah duduk atas kursi?” dan “Allah besar macam gunung?” dan “Allah tinggi macam awan?” dan berbagai-bagai persoalan lain lagi. Berbeza dengan sifat-sifat seperti Allah Maha Mendengar berbanding dengan sifat-sifat yang disebutkan pelakon itu kerana sifat-sifat itu merujuk kepada zat seolah-olah Allah punyai jisim dan bertubuh badan, yang merupakan mustahil bagi Allah bersifat demikian.
Inilah antara permasalahan besar yang mungkin timbul apabila menterjemahkan ayat-ayat mutasyabihat yang banyak dan meluas maksudnya, kepada bahasa melayu. Lafaz “kursi” dalam ayatul kursi itu secara bahasa, memang iya lah kursi atau singgahsana. Namun bahasa arab dalam setiap perkataan boleh jadi ada dua atau lebih maksud, dan kadang-kadang ada satu sahaja. Ianya mengikut konteks ayat. Maka menterjemahkan kursi hanya sebagai kursi atau singgahsana, apatahlagi apabila disebut kursi Allah meliputi langit dan bumi, ianya akan membawa kepada permasalahan lain. Maka ulamak berpesan, apabila diterjemahkan al-Quran kepada bahasa lain, maka takwilkan perkataan-perkataan yang mutasyabihat seperti ini kepada makna yang dipersetujui ulamak, seperti kursi diterjemahkan kepada kekuasaan atau pentadbiran. Allah Maha Tinggi diterjemahkan kepada Allah maha perkasa atau mulia.
Itu yang pertama.
Dan kembali kepada tajuk perbincangan dan tujuan perbincangan, tentang roh. Seperti yang disebutkan al-Quran, pengetahuan tentang roh itu terlalu sedikit, dan ianya perkara yang diuruskan Allah. Tiada sesiapa tahu sekalipun jin dan malaikat melainkan yang Allah kehendaki. Pengetahuan tentang roh itu disampaikan oleh Nabi SAW kepada kita melalui pengantaraan wahyu Allah kepada baginda, dan itulah dia yang sedikit itu. Secara kesimpulan, roh itulah nyawa kita yang menggerakkan jasad kita menjadikan kita bernyawa. Tanpa roh, jasad kaku, tak boleh bergerak.
Namun, apakah roh selepas dicabut dari jasad, akan bersama dengan jasad? Atau ia akan pergi menghadap Allah? Atau ia mengekori kawannya yang masih hidup? Seperti dalam filem “Kerek”? yang pastinya dan datang dari wahyu, bahawa roh akan menemani jasad ketika disoal siasat di alam barzakh. Bermula dari dicabut nyawa sehingga dikebumikan, roh akan sentiasa berada di sisi jasad.
Namun dalam filem? Ya, itulah yang saya katakan, filem yang hanya untuk keseronokan. Bagaimana roh boleh mengikut kawan yang masih hidup dan meninggalkan jasadnya sendiri? Tambahan pula, lebih membuatkan rasa tak logic, ketika roh sesama roh, kamera boleh rakam situasi yang tiada faedah itu. Jika nak dikatakan bayangan yang dilihat mangsa yang terselamat itu, mengapa ketika roh perempuan itu berada di perigi untuk bersuci, berseorangan, beliau diganggu? Mengapa perlu merakamkan roh perempuan itu mengekori bekas kekasihnya yang telah mati (hantu) ? mengapa roh boleh diganggu jin dan iblis? Roh berbual dengan roh tanpa kehadiran mangsa yang terselamat, tidak membawa sebarang faedah kerana tidak boleh terbayangkan ianya merupakan imaginasi mangsa yang terselamat itu, tanpa kehadiran beliau semasa perbualan itu berlaku.
Pengakhiran cerita, menyebabkan saya sangat kecewa. Sesuatu yang sangat tak logic apatah lagi masuk akal, ditayangkan di depan mata, yang saya hayatinya dengan sungguh-sungguh. Namun akhirnya sesuatu yang mustahil dari sudut akal ianya berlaku. Jikalah kamera hanya focus kepada wataknya sahaja, ditemani rakan-rakannya yang disangkanya masih hidup namun hanya imaginasi, pengalaman-pengalaman ngeri dan thrill, masih logic. Namun apabila orang yang dah mati berbual dengan orang yang dah mati juga dirakamkan, sangat buang masa dan tak berfaedah.
.
.jpg)
