Islam mengajar umatnya dari sebesar-besar perkara, memerintah dan mentadbir, solat dan haji, sehinggalah sekecil-kecil perkara, adab memakai pakaian yang mempunyai anggota kanan dan kiri, didahulukan yang kanan.
dalam semua ini, ada sumbernya dari wahyu, dan ada bersumberkan pengalaman tajrubah ilmuan dahulu dengan disiplin yang ketat. sekalipun tajrubah itu dari orang bukan Islam, namun jika ianya dibenarkan dalam Islam dan selari dengan syarak, maka ianya boleh diamalkan dengan cara yang telah diislamkan/dimurnikan.
waktu-waktu berbekam, ada sumbernya dari wahyu dan amalan nabi SAW, dan ada dari pengalaman pengamal bekam sendiri. secara kesimpulannya, waktu-waktu yang baik untuk berbekam adalah :-
- dari segi waktu atau musim dalam setahun, waktu terbaik adalah pada musim panas atau cuaca panas. mungkin ini diambil dari tajrubah dan pengalaman kerana tiada sandaran hadis padanya.
- dari segi waktu dalam sebulan, waktu terbaik adalah pada selepas pertengahan sedikit seperti dalam hadis pada 17, 19, 21 hari bulan hijri.
- dari segi hari dalam seminggu, hari terbaik adalah Isnin, Selasa, dan Khamis.
- dari segi waktu dalam sehari, waktu yang terbaik adalah pada waktu tengahari (panas) iaitu sekitar selepas zohor hingga asar.
elakkan berbekam pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad serta Rabu kerana dalam Sunan Ibn Majah ada menyebutkan hadis nabi berkenaan larangan tersebut. hikmahnya, Allahu a’lam.
namun, jika 17 hari bulan hijri jatuh pada hari rabu, tiada masalah berbekam padanya.
jika hari Isnin bukan pada 17/19/21 dan dalam musim sejuk pula, tetap boleh kerana mengambil sempena hari isnin seperti yang disebutkan hadis.
Allahu a’lam.
dan, jika berbekam kerana sakit tertentu, perlu disegerakan bekam, maka tak perlu tunggu hingga datang hari terbaik untuk melakukan bekam. waktu terbaik seperti di atas dipilih sekiranya boleh memilih tarikhnya, dan sekiranya untuk dijadikan rutin bulanan/tahunan.

[saya salin dari nota pelajaran bekam yang saya terima]
Ibnu Sina menyatakan dalam kitabnya al-Qanun Fit-Tibb :
“diperintahkan untuk berbekam bukan pada awal bulan kerana akhlat (cairan) badan tidak bergerak (secara aktif) atau teransang. dan bukan juga pada penghujungnya kerana akhlat semakin berkurang. tetapi (diperintahkan) pada pertengahan bulan, ketika akhlat teransang disebabkan pertambahannya ekoran bertambahnya cahaya pada jisim bulan, dan bertambahnya otak di kepala. dan juga air di sungai berkeadaan pasang dan surut.
dan ketahuilah bahawasanya sebaik-baik waktunya ialah pada waktu siang iaitu pada jam dua dan tiga petang, dan perlu dielakkan berbekam selepas mandi kecuali orang yang berdarah tebal, maka ia perlu mandi, berehat selama satu jam, kemudian barulah berbekam.”
Sebarkan yang bermanfaat, Semoga diturunkan Rahmat! :-