Posts Tagged ‘metabolisma’

Makan Untuk Meningkatkan Metabolisma?

December 21st, 2011

alt Setiap hari anda mengira kalori. Setiap hari juga anda menyimpan kalori. Kemudian anda berusaha membakar kalori seberapa banyak yang anda mampu. Tetapi adakah ianya berkesan? Jika anda seperti 67% wanita yang kurang berjaya untuk menurunkan berat badan secara berterusan, jawapannya adalah TIDAK. Ini disebabkan kerana anda mungkin tidak memahami apa itu kalori.

Sejak anda belajar mengenali kalori, anda telah diberitahu bahawa kalori ini adalah sama: samada anda makan 500 kalori kek atau 500 kalori lasagna, tubuh anda akan membakar atau menyimpan kalori secara purata bagi kedua-dua jenis makanan. Betul ke? Salah. Kajian sains menunjukkan bahawa apabila membincangkan tentang penurunan berat badan, kalori yang diambil tidak akan sama bagi setiap jenis makanan.

Sebenarnya kalori adalah jumlah tenaga yang terdapat pada makanan yang diambil. Tenaga dari makanan ini akan dihasilkan semasa proses respirasi berlaku. Apabila zat makanan bertindakbalas dengan oksigen di dalam sel badan semasa proses respirasi, pada masa inilah nutrisi terhasil dan seterusnya tenaga akan dihasilkan. Jumlah kalori dalam setiap makanan adalah berbeza sama sekali.

Sesetengah zat pada makanan yang sukar diserap ke dalam badan akan ‘bekerja lebih’ untuk dicernakan. Oleh itu tubuh badan memerlukan lebih banyak kalori bagi penghasilan tenaga seterusnya meningkatkan metabolisme. Dalam satu kajian di Jepun mendapati wanita yang makan makanan seperti ini mempunyai bentuk badan yang ramping berbanding mereka yang hanya makan makanan lembut dan paling mudah untuk dicernakan. Fiber dan protein adalah antara contoh makanan yang sukar dicernakan.

Makanan Untuk Tingkatkan Metabolisma

Makan akan memerlukan tenaga yang tinggi jika anda bijak memilih makanan. Terdapat empat jenis makanan yang aktif kalori yang akan merangsang tubuh anda untuk menggunakan lebih banyak tenaga seterusnya membakar lebih banyak kalori.

  1. Makanan kenyal seperti daging, kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Kalori dari makanan ini akan membuat tubuh anda bekerja sebaik sahaja anda menyuap masuk ke mulut anda.
  2. Makanan baik untuk jantung seperti buah-buahan, sayur-sayuran, beras perang, bijirin penuh, dan serat. Selain sifatnya yang kenyal, makanan seperti ini juga kaya dengan fiber dan mengisi perut dengan cepat berbanding makanan lain yang sama jumlah kalorinya.
  3. Makanan pembekal tenaga seperti kopi, teh, dan dark chocolate. Anda boleh meningkatkan metabolisme anda dengan kopi dan teh; cuma perlu berhati-hati supaya tidak mengambil susu, creamer dan gula secara berlebihan. Teh hijau tidak mengandungi jumlah kafein yang tinggi tetapi ia kaya dengan catechins, sejenis antioksidan yang merehatkan metabolisme sebanyak 4%, iaitu lebih kurang 80 kalori setiap hari. Dark chocolate pula mengandungi catechins dan kafein, tetapi anda perlu mengawal pengambilan makanan ini untuk menghadkan lemak dan kalori dalam badan.
  4. Makanan yang ‘panas’ seperti lada, kayu manis, halia, bawang putih, bunga cengkih, cuka dll. Makanan seperti ini membantu membakar kalori dengan menggandakan tenaga selepas beberapa jam anda makan. Ia juga boleh membantu membakar 100 kalori setiap hari dengan merangsang reseptor saraf dan menghantar signal ke otak untuk membakar lemak. Makanan seperti ini juga akan meningkatkan metabolisme sehingga 12%.

Tubuh manusia akan menggunakan tenaga yang dihasilkan semasa proses respirasi sebanyak 20% untuk metabolisme otak, dan selebihnya adalah untuk BMR (basal metabolic rate) organ dan tisu dalam badan. Penukaran tenaga kepada tenaga fizikal (mekanikal) adalah bergantung kepada jenis makanan yang anda ambil dan jenis penggunaan tenaga fizikal harian anda.

Oleh itu anda perlu memahami definisi sebenar tenaga makanan atau kalori ini supaya kalori yang anda ambil setiap hari tidak melebihi keperluan harian anda. Malah, untuk mengurangkan berat badan, kalori defisit adalah salah satu cara yang paling berkesan.

- Artikel iluvislam.com

Sebarkan yang bermanfaat, Semoga diturunkan Rahmat! :-

10 tips tingkatkan metabolisma tubuh badan

October 30th, 2011

Apabila anda menjengah umur 20-an ke atas atau pun mula menjengah 40-an ke atas kadar metabolisma anda akan mula menurun dan anda akan nampak kesannya dengan kenaikan berat badan yang mendadak berbanding dahulu. Kalau dahulu banyak mana sekalipun makanan yang anda makan masih lagi dapat mengekalkan bentuk dan berat yang ideal, kini tidak lagi.

Bayangkan anda telah berdiet dengan mengurangkan pemakanan tetapi apabila anda termakan lebih sedikit sahaja berat anda cepat meningkat dan tidak menunjukkan penurunan. Adakah ini merisaukan? Bukan sahaja membuatkan anda risau, malah anda akan hilang motivasi untuk terus berdiet.

Kadar metabolisma ini bergantung kepada beberapa faktor. Lelaki lebih mudah untuk membakar kalori berbanding perempuan berdasarkan saiz otot mereka yang lebih besar. Yang muda lebih mudah untuk membakar kalori berbanding yang sudah berumur. Walaupun anda tidak boleh kawal dari segi umur, genetik dan juga jantina, terdapat cara yang boleh tingkatkan metabolisma anda.

.

1. Bina otot

Tubuh badan kita sentiasa membakar kalori, walaupun pada waktu kita rehat. Kadar metabolisma ketika rehat ini menjadi lebih tinggi apabila seseorang itu mempunyai otot yang lebih besar. Setiap 0.5kg berat otot menggunakan tenaga lebih kurang 6 kalori setiap hari hanya untuk mengekalkan saiz otot tersebut sahaja berbanding 1 pound atau 0.5 kg lemak hanya membakar 2 kalori sahaja sehari. Perbezaan yang kecil ini akan semakin ketara dengan masa. Apabila anda melakukan aktiviti angkat berat, otot anda akan bekerja keras dan akan menambar kadar metabolisma ketika anda rehat.

2. Tingkatkan jenis senaman anda

Senaman aerobik mungkin tidak membantu anda membina otot yang lebih besar, tetapi ia dapat tingkatkan kadar metabolisme anda beberapa jam selepas anda melakukan senaman. Kuncinya, cuba sehabis baik. Senaman yang ‘high intensity’ memberikan anda pembakaran lemak dengan lebih besar dan lebih lama daripada jogging biasa. Caranya, sekiranya anda berjoging, tingkatkan kelajuan anda dalam masa yang singkat dan diselangi dengan kelajuan biasa. Atau sekiranya anda pergi ke gym, lakukan senaman yang lebih berat daripada biasa dengan waktu rehat dikurangkan.

3. Banyakkan minum air.

Badan perlukan air untuk proses kalori. Sekiranya anda mengalami dehidrasi, kadar metabolisma anda akan jadi perlahan. Di dalam kajian yang telah dijalankan, seseorang yang minum 8 gelas air suam membakar kalori lebih tinggi daripada seseorang yang minum hanya 4 gelas air suam sahaja sehari.

4. Minum minuman yang berais.

Badan akan cuba memproses untuk meningkatkan suhu air tersebut sekiranya anda minum air suam yang berais. Untuk meningkatkan suhu air tersebut memerlukan tenaga, dan dari situ tubuh badan anda akan cuba membakar lebih kalori berbanding biasa. Kajian mencadangkan 5 hingga 6 gelas air suam berais mampu membakar 10 kalori tambahan setiap hari. Anda juga boleh mendapat manfaat dengan meminum kopi mahupun teh hijau dengan meletakkan ais. Asalkan kopi dan teh hijau tersebut tidak mempunyai gula.

5. Makan dengan lebih kerap.

Makan banyak sudah pasti menambahkan berat. Tetapi makan dengan lebih kerap membantu anda meningkatkan kadar metabolisma. Apabila anda hanya makan 3 kali sehari sudah pasti anda mengambil satu porsi yang besar berbanding dengan makan lebih daripada 3 kali sehari. Metabolisma badan anda akan turut juga menurun. Apabila anda mengambil makanan dengan lebih kerap anda dapat mengekalkan metabolisma badan anda daripada jatuh. Sebaiknya makan setiap 2 jam setengah dengan kuantiti yang sedikit tetapi lebih kerap.

6. Pedaskan makanan anda.

Makanan yang pedas mempunyai bahan kimia yang mampu ‘kick’ metabolisma kepada gear yang lebih tinggi. Kesannya mungkin sekejap tetapi apabila anda berterusan makan makanan yang agak pedas, kesannya akan bertambah.

7. Tinggikan protein dalam makanan.

Badan memerlukan lebih banyak kalori untuk menghadap makanan yang bersumberkan protein berbanding makanan yang bersumberkan lemak dan juga karbohidrat. Protein memerlukan 25% lebih tenaga berbanding lemak untuk dihadamkan. Walaupun anda inginkan makanan yang seimbang, dengan menggantikan sedikit sumber karbohidrat anda dengan makanan yang kaya dengan sumber protein mampu merangsang kadar metabolisma anda.

8. Minum kopi hitam.

Sekiranya anda memang menjadikan kopi sebagai rutin harian, anda mungkin merasakan  tenaga dan daya tumpuan semakin bertambah terutama ketika waktu pagi. Sekiranya anda minum secara sederhana, ia mampu membantu meningkatkan kadar metabolisma anda.

9. Minuman teh hijau

Terlalu banyak kajian yang menunjukkan faedah-faedah teh hijau. Anda tidak boleh menafikan kebaikannya untuk kesihatan badan. Di dalam kajian sains, apabila anda minum 2 hingga 4 cawan teh hijau sehari, ia akan membakar kalori di dalam badan ada sebanyak 17% lebih tinggi daripada biasa dalam masa yang singkat.

Sebaiknya minum teh hijau ketika anda melakukan aktiviti untuk ‘boost’kan lagi kesannya.

10. Elakkan diet yang melampau.

Diet yang melampau biasanya melibatkan diet yang hanya mengambil kurang daripada 1000 kalori. Walaupun diet ini membolehkan anda menurunkan berat badan dalam masa yang singkat tetapi ia akan menyebabkan metabolisma anda menjadi perlahan. Diet ini juga akan menyebabkan sebahagian daripada berat otot juga berkurangan. Ia tidak hanya bertindak pada lemak tetapi juga pada otot. Semakin ringan berat otot anda semakin rendah metabolisma anda.

Akibatnya, badan anda akan mula mengadaptasi dan membakar kalori dengan lebih rendah dan mudah menyebabkan berat anda bertambah dengan mendadak lebih tinggi daripada sebelum anda berdiet.

Pilihan yang terbaik.

Impak daripada makanan dan minuman yang telah dijelaskan tadi hanyalah sebahagian kecil sahaja berbanding apa yang anda perlukan untuk mengekalkan penurunan berat badan anda. Cara yang terbaik adalah dengan membina otot dan sentiasa aktif setiap hari. Semakin banyak anda bergerak setiap hari semakin banyak kalori yang dapat dibakar.

sumber : 10 tips tingkatkan metabolisma tubuh badan

Sebarkan yang bermanfaat, Semoga diturunkan Rahmat! :-

kegemukan dan sejarah hidup

May 26th, 2011

Saya baru tahu, faktor sejarah boleh mempengaruhi kegemukan. Sejarah dunia? Sejarah Malaysia?

 

Bukan. Sejarah individu itu sendiri. Dikatakan, semasa di sekolah dahulu, seorang kawan saya merupakan pelajar yang kurus. Tidaklah kurus melidi, tetapi tidak segemuk dan seberat sekarang. Dan pada masa itu, beliau mewakili sekolah dalam sukan ragbi.

 

Sekarang, di mesir, beliau tidak lagi aktif bersukan. Main bola sepak mingguan pun tidak rasanya. Dan berat badan beliau meningkat berkali-kali ganda.

 

Kali pertama mendengar teori “metabolisma” ini saya agak kurang yakin. Namun, apabila direnung kembali sejarah diri saya sendiri, semasa tingkatan 1 di SMKANT agak berisi. Semasa tingkatan dua saya terlibat dengan pasukan kawad kaki, dan saya kurus pada tahun itu. Tingkatan 3, saya sudah tidak aktif berpersatuan, tidak juga bersukan atau berkawad, berat badan saya bertambah. Namun tak banyak.

penulis : berbaju melayu gelap. kurus kan?

 

Semasa di KISAS, berat badan saya makin bertambah. Sehinggalah di mesir, saya sekarang menyedari perubahan berat badan saya yang semakin meningkat ini. Tahun pertama di mesir, menginap di Asrama Pulau Pinang, jauh untuk ke kuliah, penat berjalan, pertambahan berat badan saya agak perlahan. Tahun ke dua, menginap di madinah Buuth juga begitu. Perlu berjalan jauh untuk masuk dari pagar madinah Buuth ke bilik asrama. Sekarang di rumah sewa, dekat pula dengan kuliah, keluar pula lewat, makan pula banyak, pertambahan berat badan sangat mendadak. Dari 77++ kilogram hingga sekarang 89-90 Kg.

penulis di BQ : september 2010

 

 

Dikatakan, semasa aktif bersukan, badan memerlukan banyak tenaga, maka badan akan menjadi lapar. Kita makan dengan keperluan badan, dan ianya berterusan menjadi kebiasaan. Apabila tidak lagi aktif bersukan, badan menghasilkan isyarat lapar yang sama mengikut kebiasaan, dan kita makan seperti kebiasaan juga, namun tenaga yang digunakan kurang akibat dari tidak aktif bersukan. Tenaga yang berlebihan ini ditukarkan menjadi lemak dan ianya terkumpul di dalam badan, mengakibatkan seseorang itu menjadi gemuk.

penulis : 13 Mei 2011

 

Inilah dia, bagaimana sejarah mempengaruhi kegemukan seseorang. Logic? Ya logic!

 

Kesimpulannya? Kita perlu bersenam untuk membakar lemak yang terkumpul dalam badan. Kurangkan makan, makan ikut keperluan, bukan ikut kebiasaan! Kegemukan merupakan perkara “bidaah” yang berlaku selepas zaman sahabat nabi (setelah nabi SAW wafat).

.

 

.

Sebarkan yang bermanfaat, Semoga diturunkan Rahmat! :-